Monday, 13 June 2011

Tips untuk menternak Arnab

Tips penjagaan untuk memerlihara salah satu haiwan berbulu cantik,Menarik dan berbagai warna iaitu Arnab, Atau dalam bahasa Inggerisnya, dipanggil RABBIT.
Bagi Peminat yang baru mula hendak memerlihara arnab, Beberapa tips yang akan dikongsikan bersama untuk memerlihara arnab. Arnab nih dia ada macam-macam jenis. Nak tahu jenis-jenis dia, kamu boleh lihat di post sini
Antara beberapa perkara yang perlu kamu tahu untuk memerlihara arnab adalah;

Makanan
Jika kita lihat di kedai pet, makanan arnab yang biasanya ada dijual adalah PELLET, Ada yang panggil Dedak arnab. Pellet nih rupa dia panjang-panjang.Pellet yang saya gunakan 'Gold Coin'. Ada juga penternak gunakan Cargill, FFM dan dll.
Selain itu ada juga makanan arnab lain, seperti timoty HAY dan beberapa jenis rumput lain yang dikatakan sangat bagus untuk diet arnab. Ada juga rumput yang tinggi protin seperti Alfafa hay yg baik untuk anak dan Ibu Bunting dan menyusu. Bagi yang mahu kurang kan bajet bolehlah menggunakan 'rumput Israel' sebagai diet.


Rumput Israel
Selain rumput Israel, daun kangkung, daun pucuk manis, dan daun ulam raja juga menjadi makanan sampingan untuk arnab. Ianya tidak memerlukan kos yang tinggi sebab kesemua jenis pokok dan daun yang saya beritahu tadi semuanya sudah ada tertanam disekeliling rumah saudara. Terutamanya rumput Israel. Memang banyak boleh dipetik dalam belukar dikebun-kebun dan tepi jalan. Daun pucuk keledek dan daun pucuk ubi juga boleh diberikan kepada arnab. Tetapi kamu perlu menjemurnya terlebih dahulu untuk mengeringkan getah yang ada pada daun tersebut. Ini untuk mengelakkan arnab ‘mabuk’ kerana termakan daun yang bergetah.
Perlu saya ingatkan disini, jika memberi arnab makan sayur atau daun-daun, Basuh dahulu biar bersih dan dijemur dahulu 2 hingga 3jam biar kering untuk memgurangkan kandungan air didalam daun tersebut, serta menghilangkan getah. Kerana ia boleh menyebabkan arnab kamu mengalami sakit perut.

Air yang bersih juga perlu disediakan untuk arnab (bukan air berklorin). Pastikan bekas untuk meletakkan air minum arnab sentiasa dalam keadaan bersih untuk mengelakkan arnab terkena jangkitan penyakit. Bagi yang ada bajet boleh menggunakan 'Drinker nipple rabbit'. Ini dapat menjimatkan masa dan mudah untuk menyeleggara.

Tempat Tinggal
Kamu boleh memilih sama ada mahu memerlihara arnab didalam sangkar, atau buatkan sebuah reban untuk arnab kamu. Jika kamu bercadang untuk memerliharanya sekadar untuk suka-suka (bukan untuk ternakan), kamu bolehlah membelanya didalam sangkar. Sangkar yang lebih kurang macam sangkar kucing tuh…kat kedai Pets ada jual, Tapi jika kamu bercadang untuk membuat ternakan, lebih baik kamu buatkan reban untuk arnab-arnab kamu. Dengan tempat yang luas dan besar didalam reban, arnab kamu akan lebih bebas bergerak dan tidak terasa sesak bila bilangan arnab sudah bertambah banyak. Jika kamu ingin membina reban arnab, pastikan reban itu mempunyai 2 pintu. Maksud saya, reban tu dah dibahagi 2 atau dah disekat dibahagian tengahnya. Ini untuk memudahkan kamu memisahkan arnab jantan dan arnab betina bagi mengatur kitar peranakkan bagi arnab kamu. Sebab arnab betina nih, tiba waktu dia dah boleh beranak, dia akan subur sentiasa… huhu~ Nisbah untuk menternak arnab adalah 1:5. Iaitu 1 arnab jantan nisbah 5 arnab betina.  

Kesihatan
Pastikan arnab kamu sentiasa diberi minum air yang bersih untuk mengelakkan jangkitan penyakit. Jika kamu hanya berikan arnab kamu makan pellet/dedak arnab sahaja, kamu perlu pastikan air minum arnab sentiasa ada kerana arnab akan mudah haus dan kuat minum air jika ia hanya diberi makan pellet sahaja. Jangan beri arnab kamu makan kobis bulat… erm~ nih saya pun tak pasti kenapa… mungkin akan ada masalah dengan perut kot~
Elakkan arnab kamu dari kesejukan. Pastikan kamu tidak memandikan arnab kamu kerana arnab tidak tahan dengan sejuk. Effect; kaki arnab akan jadi kaku. Jika bulunya kotor gunakan spray atau kain dilap tempat yg kotor saja.
Pastikan reban atau sangkar arnab kamu sentiasa bersih. Buang atau basuh bekas tahi seminggu sekali atau 3 hari sekali, kalu rajin hari hari...hehhe untuk mengelakkan arnab kamu diganggu hama, agas-agas, atau semut dan berbau busuk.

Kawinkan Arnab dan Tempat Beranak
Pada keadaan semulajadi (di hutan) arnab betina akan mengawan semula dalam masa 24-48 jam selepas beranak. Keadaan ini tidak digalakkan dalam penternakan arnab komersial, kerana arnab betina tidak boleh digunakan lebih lama.Ibu arnab boleh beranak paling cepat, Seelok eloknya biarlah cerai susu..macam (org dalam Pantang). Jika kamu tak larat nak jaga arnab yang beranak sebulan sekali, kamu perlu pisahkan arnab jantan dan arnab betina didalam reban. Kitarannya perlulah kita planning sendiri...;
Untuk memastikan arnab tersebut sudah mengawan ialah apabila arnab jantan memanjat arnab betina untuk seketika dan kemudian arnab jantan akan menurunkan badannya seperti keadaan mengelunsur kebelakang atau terlentang.
Untuk memastikan kebernasan, proses mengawan yang pertama pada jam 8-10 pagi dan yang kedua boleh dilakukan 5-6 jam selepas proses mengawan yang pertama. iaitu pada waktu petang. Tempoh Bunting arnab 29 hingga 31 hari. Pada minggu keempat tempat beranak arnab bolehlah diletakkan supaya arnab tersebut dapat menyesuikan diri lebih awal.

Tempat beranak untuk ibu arnab pula, jika kamu rajin, kamu bolehlah buatkan kotak seperti gambar dibawah.


Kotak yang digunakan untuk arnab melahirkan anak...
Kalau tak pandai buat, gunakan raga yg kecil..kat kedai plastic ada jual..
Penjagaan Anak Arnab
Kita perlu lihat keadaan ibu arnab. Ada sesetengah ibu arnab yang pandai menjaga anak. Tidak kurang juga ibu arnab yang tak pandai menjaga anak dan hanya membiarkan anaknya mati begitu sahaja. Jika si ibu arnab pandai menjaga anaknya, apa yang perlu kamu buat, hanya memastikan ibu arnab berada dalam keadaan sihat dan mendapat makanan dan minuman yang cukup. Tetapi jika si ibu arnab tidak pandai menjaga anak, kamu perlu sama-sama menjaga anak arnab tersebut.


Anak arnab yang baru lahir...
Antara tips yang saya dapat dari rakan rakan , ada mengatakan kita perlu pegang si ibu arnab menyusukan anaknya dengan cara memegang keempat-empat kaki ibu arnab tersebut. Manakala tips yang lain pula, ada yang mencadangkan supaya anak arnab diberi minum air rebusan beras (air bubur) dengan picagari hingga 4 minggu.

Permainan
Seperti kucing, arnab juga adalah sejenis haiwan yang boleh dimanja. Jika arnab ini manja, ia akan mengeluarkan bunyi ‘purr‘ seperti kucing gak. (boleh refer Lazybunny). Sesekali, kamu boleh bermain dan manjakan arnab yang kamu perlihara di tempat yang luas...mememang dia seronok berlari sambil menjerit yahoooo...bebas..
Jika kamu bawa masuk arnab kamu kedalam rumah, pastikan arnab kamu tidak menggigit kabel eletrik atau kabel telefon. Ini kerana arnab memang terkenal dengan sifatnya yang suka menggigit dan mengunyah. Jauhkan juga arnab kamu dari pemangsa seperti kucing yang garang, dan sebagainya.